Cara pembuatan Katsuobushi

Ikan aya dipotong kepala, dibuang isinya serta difilet sambil dibuang lemak ia; filet dibelah tiga menjadi 2 bahagian daging dan 1 bahagian tulang. Daging ikan dimasukkan ke dalam bakul di mana isi bakul direbus selama kira-kira 100 minit (secara umumnya, bergantung kepada saiz isi mentah), suhu merebus pada tahap ini dikawal dengan begitu ketat. Selepas isi ikan ini direbus, sisik, lemak perut dan tulang harus dibuang sepenuhnya dan dibersihkan. Pada tahap ini, ia dikenal dengan nama namaribushi.

Filet-filet ikan diasapkan menggunakan kayu tetentu seperti oak. Penyalaian ini dilakukan selama 5–6 jam sekali sebelum ia dibiarkan agar sisa air menyejat kering sebelum filet ini disalai sekali lagi, kitaran ini dilakukan secara berulang sehingga 12–15 kali. Daging ikan yang diolah sampai tahap ini disebut arabushi, aragatsuo (荒節), katsuo-kezuri-bushi (鰹削り節) atau hanakatsuo; sebarang tar yang terkumpul daripada asap di permukaan isi ikan akan dikikis.

Permukaan daging ikan dibersihkan daripada sebarang kotoran dan dikeringkan lagi dengan menjemurnya di bawah sinar matahari. Setelah itu, isi ikan dilumuri sejenis kulat khas spesies Aspergillus glaucus dimasukkan ke dalam ruangan tertutup dan dibiarkan selama 2 minggu; kulat ini berfungsi menapai isi ikan sambil menyingkirkan sisa air yang masih ada daripada isi ikan salai ini. Kedua-dua kaedah penyalaian dan penapaian ini terus diulang sehingga isi ikan menjadi sangat kering dan keras seakan kayu lalu kulat tidak dapat bercambah di atasnya lagi. Pada tahap ini, berat bersih produk akhir karebushi (枯節, "filet kering") hanya tinggal seperlima dari berat bahan mentah asal sebelum diproses. Karebushi yang dianggap bermutu baik dikatakan akan mengeluarkan bunyi berdenting seperti kayu keras atau besi jika kepingan isi ikan ini saling berketukan. Pecahan dalaman karebushi akan turut terlihat berwarna merah tua yang bening seakan rubi

Teknik penyediaan bahan ini dilakukansejak sebelum zaman Edo; cara pembuatan yang sama (biasanya sampai tahap arabushi) juga sering dilakukan terhadap pelbagai jenis ikan lain.